Pada suatu malam, si buta ingin pulang dari rumah
sahabatnya yang berada di hujung kampung. Walaupun sahabatnya menyuruh si buta
agar tidur di rumahnya memandangkan hari sudah lewat malam tetapi si buta
enggan kerana bimbang akan menyusahkan sahabatnya itu. Sahabatnya berasa berat
hati untuk membiarkan si buta pulang seorang diri dalam keadaan gelap, tetapi
si buta tetap dengan pendiriannya dan tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu
untuk menghantarnya pulang lalu sahabatnya membekalkan sebuah pelita kepada si
buta untuk pulang ke rumah.
“Buat apa beri saya pelita? Sama sahaja. Saya tidak mampu
melihat juga. Saya boleh pulang dengan sendirinya”. Kata si buta sambil ketawa.
“Pelita ini bukanlah untuk kamu melihat jalan tetapi
untuk orang lain agar dapat melihat kamu dan tidak akan melanggar kamu”. Balas
sahabatnya dengan lembut.
Akhirnya si buta bersetuju dengan cadangan sahabatnya
agar pelita itu dibawa bersama. Dalam perjalanan itu, tiba-tiba si buta itu
telah dilanggar oleh seseorang.
“Kamu kan boleh melihat, berilah jalan kepada saya
yang buta ini”.Kata si buta dalam keadaan terkejut.
Tanpa berbalas apa-apa, mereka berdua meneruskan
perjalanan.
Tidak beberapa lama selepas itu, seseorang yang lain
telah melanggar si buta pula.
“Kamu buta ya? Tidak mampu melihat? Aku bawa pelita
ini agar kamu dapat melihat aku ketika dalam kegelapan sebegini”. Kata si buta
dengan marah.
“Kamulah yang buta! Kamu tak nampak ke pelita kamu
sudah padam?”. Balas orang itu.
Si buta terdiam dan kaku.
Melihat hal itu, orang yang melanggar si buta itu
terus meminta maaf kepada si buta.
“Maaf, saya ‘buta’ kerana tidak melihat dengan betul
bahawa kamu adalah orang buta”. Kata orang itu.
“Tiada apa-apa. Saya juga ingin meminta maaf di atas
kekasaran kata-kata saya tadi.” Balas si buta dengan lembut.
Lalu orang tersebut membantu si buta menyalakan
kembali pelita itu. Mereka berdua meneruskan perjalanan masing-masing.
Dalam perjalanan berikutnya, masih ada lagi yang
melanggar si buta.
“Maaf, apakah pelita saya sudah padam?” Tanya si buta
dengan berhati-hati dan sopan-santun.
“Saya juga mahu menanyakan hal yang sama”. Balas orang
itu.
Kedua-duanya terdiam. Senyap.
“Apakah kamu orang buta?” Tanya si buta itu.
“Ya!” Jawab orang itu.
Kedua-dua mereka terus ketawa memikirkan yang kedua-duanya
tidak boleh melihat serta menanyakan soalan yang sama. Mereka pun saling
membantu untuk mencari pelita masing-masing yang telah terjatuh akibat
pelanggaran tadi.
Waktu itu, lalulah seseorang pejalan kaki yang lainnya
dan hampir-hampir melanggar kedua orang buta tadi. Orang itu berlalu sambil
melihat gelagat kedua orang buta itu tanpa mengetahui yang mereka itu adalah
orang buta.
“Saya juga perlu membawa pelita agar saya mudah
berjalan di dalam gelap serta orang lain juga akan dapat melihat saya.” Timbul
idea di benak fikiran lelaki yang berlalu di antara dua orang buta
tadi.
Kesimpulan:
Pelita melambangkan KEBIJAKSAAN.
Membawa pelita bererti kita sudah menjalankan kebijaksanaan dalam hidup kita.
Pelita, sama halnya dengan kebijaksanaan, melindungi kita dari pihak lain yang
cuba jatuhkan kita serta perlindungan dari segala aral rintangan!
Si buta pertama mewakili mereka yang diselubungi kegelapan batin, keangkuhan, kebodohan, keegoan, dan kemarahan. Dia selalu menunjuk ke arah orang lain, serta tidak sedar bahawa lebih banyak jarinya yang akan menunjuk ke arah dirinya sendiri semula. Dalam perjalanan “pulang”, dia mula belajar menjadi bijak melalui peristiwa demi peristiwa yang dialaminya. Ia menjadi lebih rendah hati kerana menyedari kebutaannya dan dengan adanya belas kasihan dari pihak lain. Ia juga mula belajar menjadi pemaaf.
Pelanggar pertama mewakili orang-orang yang pada
umumnya, yang kurang kesedaran, yang kurang peduli. Kadang-kadang, mereka
memilih untuk “membuta” walaupun mereka boleh melihat.
Pelanggar kedua mewakili mereka yang bertentangan
dengan kita, yang sedia membetulkan kekeliruan kita, sengaja atau tidak
sengaja. Mereka boleh menjadi guru-guru yang terbaik untuk kita. Tidak seorang
pun yang mahu menjadi buta, sememangnya kita perlu saling menasihati dan saling
membantu.
Orang buta kedua mewakili mereka yang sama-sama gelap
batinnya dengan kita. Betapa sulitnya menyalakan pelita kalau kita juga tidak boleh
melihat pelitanya. Seseorang yang buta sukar untuk menuntun orang buta yang lain.
Itulah pentingnya untuk terus belajar agar kita menjadi semakin celik, semakin
bijaksana!
Orang terakhir yang melalui orang buta tadi adalah
mewakili mereka yang cukup sedar akan pentingnya memiliki pelita kebijaksanaan.
Sudahkah kita mempunyai pelita kebijaksaan dalam diri
kita masing-masing? Jika sudah, apakah ia masih terang menyala, atau bahkan
nyaris terpadam? JADILAH PELITA, bagi diri kita sendiri dan sekitar
kita.
Sejuta pelita dapat dinyalakan dari sebuah pelita, tanpa
memadamkan pelita yang pertama. Begitu juga dengan pelita kebijaksanaan, tidak akan
pernah habis jika dibahagi-bahagikan.
Apabila mata tanpa penghalang, wujudnya penglihatan.
Jika telinga tanpa penghalang, wujudnya pendengaran. Hidung tanpa penghalang,
wujudnya penghiduan. Fikiran tanpa penghalang, hasilnya adalah kebijaksanaan.
::.akaahaara.::
Post a Comment
4 ulasan:
Bagus gan ceritanya mampir kembali gan di sinalnews
Hiihi comelnya cerita. Reka sendiri ke? Hebat. teruskan :)
http://ainnabilahhafizul.blogspot.com/2013/01/apabila-disoal.html
terima kasih Sinal Abidin... jangan lupa follow ya... ^_^
Terima Kasih Ain Nabilah Hafizul... Done Follow U...
Post a Comment