Blog Akaahaara Lawiya Adalah Hak Cipta Terpelihara.
RSS

Tuesday, January 1, 2013

Kasih Pemilih Tanpa Memilih?


Kali ini Aminah tekad untuk bertanya kepada pensyarahnya berkaitan makna kasih sayang yang telah lama dipendamkannya agar ia bisa menemukan erti kasih sayang yang sebenarnya. Sejak Aminah memikirkan hal tersebut, hatinya sentiasa berbelah bahagi serta tidak dapat memikirkan jawapan yang sebaiknya. Banyak persoalan yang timbul di benak fikirannya yang masih lagi samar-samar dan memerlukan satu penjelasan yang sempurna.


Hari itu, pensyarahnya sedang menyentuh perihal kasih sayang secara am, maka Aminah pun mengambil peluang itu sebaik mungkin untuk menanyakan persoalan yang telah lama dipendamkan dalam hatinya. Aminah berharap agar pensyarahnya memberikan jawapan yang dapat menghapuskan segala persoalannya selama ini.

“Puan Zulaikha, saya ingin bertanya berkenaan makna kasih sayang yang telah lama saya pendamkan. Bagaimana saya ingin memilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling saya sayang? Bagaimana pula, kasih sayang itu hendak berkekalan?” Tanya Aminah tanpa perasaan malu.

“Oh, senang saja soalan itu. Kamu ingin tahu jawapannya?” Balas Puan Zulaikha selamba.

“Sudah tentu puan. Sudah lama saya mencari jawapannya namun tetap hampa.” Balas Aminah.



“Emmm… Kalau begitu, baiklah. Sekarang kamu ikut apa sahaja yang saya suruh tanpa melanggar satu pun arahan saya. Setelah itu, kamu akan temui jawapan yang kamu inginkan selama ini.” Kata Puan Zulaikha.

“Baiklah puan. Jadi, apa yang perlu saya lakukan sekarang?” Tanya Aminah.

“Kamu pergi ke padang yang berada di luar kelas ini sekarang, kamu berjalan di atas rumput itu sambil memandang rumput-rumput di hadapan kamu. Saya mahu kamu pilih rumput mana yang paling cantik dan terbaik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Kemudian, kamu petiklah rumput yang kamu fikirkan cantik dan terbaik di hadapan kamu tadi lalu bawa rumput itu balik ke kelas.” Puan Zulaikha memberi arahan satu persatu. Jelas.

“Baiklah puan, izinkan saya pergi sekarang.” Pinta Aminah sambil melangkah keluar dari kelas itu.

Sekembalinya Aminah ke kelas itu, Puan Zulaikha mendapati tiada rumput yang dibawa oleh Aminah. Aminah balik ke kelas itu dengan tangan kosong serta wajahnya kelihatan sugul.

“Mana rumput yang saya suruh kamu petik tadi?” Tanya Puan Zulaikha lembut.

“Begini ceritanya puan. Saya berjalan di atas rumput sambil memandang rumput yang berada di situ, saya pun carilah rumput yang paling cantik dan terbaik. Memang banyak rumput yang cantik tetapi puan menyuruh saya memetik rumput yang paling cantik dan terbaik maka saya pun berjalan mencari rumput yang cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Sehingga ke hujung padang, saya tidak menemui rumput yang cantik dan terbaik. Mungkin ada rumput yang cantik di belakang saya sebelum itu, tetapi puan berpesan agar saya tidak menoleh ke belakang semula, jadi tiada rumput yang cantik dan terbaik boleh saya petik.” Balas Aminah panjang lebar.

“Ya, itulah jawapannya. Maknanya, jika kita telah menemui seseorang yang kita sayang, maka janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik dari itu. Kita patut menghargai orang yang ada di hadapan dan sekelilingh kita dengan sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana perkara yang terjadi sebelum itu tetap sudah berlaku dan semoga ia tidak lagi berulang di masa hadapan. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan serta cuba untuk meneruskan perhubungan itu walaupun banyak perkara yang mampu menggugat perhubungan tersebut.

Kita juga harus ingat bahawa orang yang kita jumpa pada mulanya itulah PALING CANTIK dan TERBAIK walaupun masih ramai lagi yang cantik dan terbaik seperti rumput tadi. Jika perhubungan itu masih tidak dapat diselamatkan, maka kita perlulah saling memaafkan serta melepaskan dengan cara yang baik. Maka di sini bolehlah kiranya untuk kita memulakan langkah semula dalam membina perhubungan yang lebih sempurna. Sayangilah mereka yang telah menjadi kepunyaan kita secara jujur dan ikhlas agar sesuatu perhubungan itu lebih bermakna buat diri kita dan orang yang kita sayangi itu.” Kata Puan Zulaikha mengakhiri kelas pada hari itu.

Aminah pulang ke rumah dengan hati yang gembira sambil memikirkan kata-kata Puan Zulaikha yang telah menjawab segala persoalannya selama ini.




Kesimpulan :

Kasih sayang adalah satu anugerah dari Allah SWT yang tidak ternilai harganya. Tidak hanya pada manusia sahaja bahkan haiwan juga diberi sifat kasih sayang ini. Kasih sayang yang sempurna dan baik hanya akan diperolehi dari sebuah hati yang ikhlas serta jujur dalam perhubungan yang telah dijalinkan antara satu pihak kepada pihak yang lain. Jadi, jika kita merasa tidak mampu memberikan kasih sayang yang sempurna kepada seseorang, kita juga tidak perlu mengharap kasih sayang dari orang itu sendiri. Kasih sayang yang terbentuk ekoran persefahaman adalah lebih indah dari kasih sayang yang terbentuk dari hasil kepura-puraan. Kita juga perlu memandang kasih sayang dari segala sudut agar ia lebih bernilai serta dapat memberikan nilai kasih sayang yang sebenarnya. Kasih pemilih tanpa memilih kasih dengan sesiapa pun. Kasih sayang itu indah serta mengasyikkan!


Post a Comment

0 ulasan:

Post a Comment