Blog Akaahaara Lawiya Adalah Hak Cipta Terpelihara.
RSS

Thursday, January 3, 2013

Panglima Perang & Penjual Minyak


Pada zaman dahulu kala, dalam sebuah kampung, tinggallah seorang panglima perang yang terkenal dengan kehebatannya kerana memiliki kehandalan dalam memanah yang tiada tolok bandingnya. Hampir setiap bulan, dia akan menunjukkan kehebatannya itu di khalayak ramai agar semua yang melihat aksinya itu berasa kagum serta sentiasa menghormatinya. 

Seperti kebiasaannya, dia akan menunjukkan kehebatannya pada setiap bulan, lalu diperintahkan kepada orang-orang bawahannya agar menyediakan papan sasaran serta 100 batang anak panah.





Maka orang-orang bawahannya pun menyediakan segala keperluan yang dikehendaki oleh si panglima tadi. Setelah semuanya selesai dan diletakkan di satu kawasan lapang, maka orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan kehebatan si panglima itu. Si panglima mula memasuki kawasan lapangan itu dengan penuh keyakinan diri, lengkap dengan busur memanah di tangannya.

Si panglima mula menarik busur dan melepas satu persatu anak panah itu ke arah sasaran. Rakyat bersorak gembira menyaksikan kehebatan anak panah yang meleset pergi! Sungguh luar biasa! Seratus kali anak panah dilepaskan, semuanya tepat mengenai sasaran tanpa ada satu pun yang terpesong.

Dengan wajah yang berseri-seri serta penuh kebanggaan, panglima berkata:

"Wahai rakyat sekalian, lihatlah diriku ini! Saat ini, kehandalan memanahku tidak ada tolok bandingnya dengan sesiapa. Tiada siapa yang mampu mengatasi kehandalanku dalam memanah. Bagaimana dengan pendapat kalian?" Kata Si Panglima dengan riak.





Semua yang hadir memuji-muji kehandalan panglima itu. Ada yang memberi hadiah dan sebagainya tetapi di antara kata-kata pujian itu, tiba-tiba seorang tua penjual minyak menyampuk:

"Panglima memang hebat! Tetapi, itu hanya kehandalan dan keahlian yang didapati dari kebiasaan yang terlatih."

Panglima dan seluruh yang hadir tersentak dan tercengang, memandang sambil tertanya-tanya, apakah yang cuba dimaksudkan oleh si penjual minyak itu.

"Tunggu sebentar!" Kata si penjual minyak.

Maka si penjual minyak pun mengambil sekeping duit syiling lama yang berlubang di tengahnya. Lalu, diambil pula satu botol kosong dan diletakkan duit syiling tadi pada mulut botol serta dengan penuh keyakinan, si penjual minyak mengambil pula satu gayung yang penuh berisi minyak, si penjual minyak kemudiannya menuangkan minyak dalam gayung tersebut dari atas melalui lubang kecil di tengah syiling tadi sehinggalah botol kosong itu terisi penuh. Hebatnya, tidak ada setitis minyak pun yang mengenai permukaan syiling tersebut!

Si panglima dan rakyat tercengang. Mereka mula bersorak menyaksikan demonstrasi kehandalan si penjual minyak tadi. Dengan penuh kerendahan hati, si tukang minyak membongkokkan badannya sebagai tanda hormat kepada si panglima sambil mengatakan:

"Itu hanya kehandalan dan keahlian yang didapati dari kebiasaan yang terlatih! Kebiasaan dalam melakukan sesuatu perkara yang diulang secara terus menerus akan melahirkan satu kehandalan dan keahlian yang tiada tolok bandingnya."





Kesimpulan :

Daripada cerita di atas, dapat kita simpulkan di sini bahawa betapa hebat dan luar biasanya perkara yang diambil serta diperolehi dari perkara kebiasaan yang telah kita lakukan. Habit is power!

Hasil dari kebiasaan yang terlatih dapat membuat sesuatu yang sulit dan sukar itu menjadi mudah serta perkara yang mustahil, boleh berubah kepada tidak mustahil.

Begitu juga untuk memperolehi sesuatu kejayaan dalam kehidupan, kita memerlukan karakter yang berjaya. Karakter yang berjaya ini boleh dibentuk melalui kebiasaan-kebiasaan seperti berfikiran positif, Antusiasme, optimis, disiplin, integriti yang tinggi, bertanggungjawab, dan sebagainya.

Marilah kita sama-sama bersiap untuk melatih, memelihara, dan mengembangkan kebiasaan yang selalu dilakukan, berfikir sebagai orang yang cemerlang secara berkesinambungan. Sehingga, karakter yang telah berjaya terbentuk dalam diri kita itu akan membawa kita kepada satu puncak kecemerlangan yang tiada tolok bandingnya dalam setiap perjuangan serta perjalanan kehidupan kita.

Sekali lagi ingin saya tegaskan :

Kebiasaan yang diulang secara terus menerus, akan melahirkan kehandalan dan keahlian yang tiada tolok bandingnya!

Pengkhususan Melahirkan Kemahiran!


::.akaahaara.::

Post a Comment

0 ulasan:

Post a Comment