Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan
pemandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang
mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah
yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.
Perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik
menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya
kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.
Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah
kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak
perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.
Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap
budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu
bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.
Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu
kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan
tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.
“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas
menghabiskan susu tersebut.
“Oh, percuma! Tak
perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang
balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.” Jawab budak perempuan
itu.
Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut.
“Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,” kata pemuda
tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukkan.
Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang
mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya
menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain
dalam fikiran pemuda tersebut.
Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an,
diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah
kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan.
Seorang doktor dipanggil.
Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat
tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu
ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah
memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata, “Emak dan ayah telah mengajar
saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang
kita lakukan.”
Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan
segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di
wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya
diubati.
Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan
ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai
demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut,
kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia
menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu
sebuah rumah kecil di pinggir ladang.
Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut.
Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak
mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum
tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.
Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke
helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya.
Tulisan itu berbunyi…
—————————————
“Sudah Dibayar Dengan Segelas Susu.”
-Dr Howard Kelly-
—————————————
::.akaahaara.::
Post a Comment
5 ulasan:
cerita ni mmg punya nilai murni yg tinggipernah bca dh sebelum ni..:D
Betul... Disebabkan ia cerita benar, jd saya simpan ia ke dalam blog saya ini.. terima kasih...
bgus jalan crta ne, buat baik dgn ikhlas dibalas dgn kebaikan dan keikhlasa :)
awww... good story...
entri yg bagus..blh tahu dpt mane citer ni?
Post a Comment