Pada suatu hari, seekor anak tiram di dasar laut mengadu dan
mengeluh kepada ibunya kerana sebutir pasir tajam telah masuk ke dalam tubuhnya
yang merah dan lembik.
“Ibu, sakitnya saya rasa ibu. Sebutir pasir tajam telah
menusuk ke dalam tubuh saya.” Sayu suara anak tiram itu.
“Anakku,” kata si ibu sambil air matanya mula mengalir.
“Tuhan tidak memberikan pada kita sepasang tangan pun,
sehingga ibu tidak mampu menolongmu. Sakit sekali, ibu tahu anakku, tetapi terimalah
itu sebagai takdir alam.” Sambung ibu tiram lagi.
“Kuatkan hatimu. Jangan terlalu lincah lagi. Kerahkan
semangatmu untuk melawan rasa ngilu dan pedih yang menggigit-gigit. Balutlah
pasir tajam itu dengan pelapik perutmu, hanya itu yang mampu kamu lakukan.”
Kata ibu tiram dengan nada lembut dalam sendu.
Anak tiram pun melakukan nasihat ibunya tadi. Berhasil!
Pasir tajam itu berjaya diletakkan di bawah pelapik perutnya tetapi rasa sakit
dan ngilu yang dialaminya bukan kepalang. Dalam kesakitan itu, anak tiram mula
meragui nasihat ibunya. Apakan daya, hanya dengan air mata sahaja ia dapat
bertahan, sehinggalah bertahun-tahun lamanya.
Tanpa disedari, sebutir mutiara mula terbentuk dalam
dagingnya. Semakin lama ia semakin halus. Rasa sakit sebelum ini mula berkurangan
dan semakin lama mutiaranya semakin besar. Rasa sakit dari sebutir pasir tajam
mula dirasakan berbaloi oleh anak tiram.
Akhirnya, sesudah sekian tahun, sebutir mutiara besar, berkilauan,
dan bernilai sudah terbentuk dengan sempurna. Penderitaan anak tiram sebelum
ini sudah berubah menjadi sebutir mutiara yang sukar didapati oleh manusia.
Air mata anak tiram berubah menjadi sangat berharga. Dirinya
kini, sudah boleh dibanggakan. Sebagai balasan dengan sikap sabar dan penderitaan
yang bertahun-tahun, ia telah menjadi lebih berharga daripada sejuta tiram lain
yang cuma disantap orang sebagai makanan di pinggir-pinggir jalan.
Kesimpulan :
Cerita di atas adalah sebuah paradigma yg menjelaskan bahawa
penderitaan merupakan satu lorong transendental untuk menjadikan seekor “tiram
biasa” kepada “tiram luar biasa”.
Oleh itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa kekecewaan dan
penderitaan dapat mengubah “orang biasa” untuk menjadi “orang luar biasa”.
Ramai orang yang jatuh di saat mereka berada di lorong
transendental tersebut, kerana mereka tidak tahan dengan ujian serta cubaan
yang mereka alami. Di sini saya kemukan dua pilihan yang boleh dipilih oleh
mereka sama ada ingin menjadi “tiram biasa” yang hanya akan disantap orang,
atau ingin menjadi “tiram luar biasa” yang menghasilkan mutiara serta
memilikinya.
Sayangnya, ramai orang lebih memilih untuk mengambil pilihan
pertama, sehingga tidak mengendahkan jumlah orang yang berjaya atau “orang luar
biasa” ini lebih sedikit dari orang yang gagal atau “orang biasa-biasa”.
Jadi, mungkin sahabat-sahabat sekalian pada waktu ini sedang
mengalami kejatuhan, kekecewaan, kesedihan, atau boleh jadi terluka kerana
orang-orang dan hal-hal di sekeliling kamu, bukan?
Cubalah kamu tetapkan pendirian, tetap tersenyum dan kuatkan
untuk berjalan di lorong tersebut sambil katakan dalam hati kamu :
“Airmataku akan diperhitungkan Allah SWT! Penderitaanku serta
kepedihanku ini akan mengubah diriku untuk menjadi mutiara-mutiara yang berguna
suatu hari nanti”.
Post a Comment
5 ulasan:
Nice postingnya maz, jangan pernah berhenti berkreasi.
In shaa ALLAH. =)
Terima Kasih Di Atas Komentar & Sokongan Yang Diberikan... =)
Akaahara..hehehe
Fikirsekejap, sudah menjadi follower saya ?? hehehe
Post a Comment