Blog Akaahaara Lawiya Adalah Hak Cipta Terpelihara.
RSS

Sunday, December 2, 2012

Ayah... Bagilah Balik Tangan Adah!

Hainani Adawiyah adalah anak tunggal kepada pasangan Adam & Hasmah...
Dipanggil 'Adah' sejak kecil lagi. Dia mesra dengan panggilan begitu. Adah sangat minat melukis. Ibu dan ayahnya juga suka melihat lukisan Adah.

Suatu hari, ibu dan ayah Adah bermotosikal ke tempat kerja ekoran lalu lintas yang sesak sempena perayaan Thaipusam. Adah tinggal bersama pembantu rumah yang bernama Suriati, mesra dipanggil Mak Su. Adah leka bermain buaian di luar rumah. Tiba-tiba dia terpandang sebatang paku karat sekitar buaian. Terdetik di hatinya ingin melukis sesuatu...
Adah memandang sekeliling tempat dia bermain, lalu dia melihat lantai tempat ayahnya meletakkan kereta (parking ). Dia pun mula melakar di atas lantai tersebut tetapi tidak kelihatan kerana lantai itu diperbuat daripada marmar. Adah tidak puas hati! Dicubanya pula pada kereta baru ayahnya. Ya, kereta itu berwarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi, Adah pun mula melakar dengan gembira dan melahirkan kreativitinya.

Setelah penuh sebelah kanan kereta, dia beredar ke sebelah kirinya pula. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, Mak Su, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tidak disedari pembantu rumahnya, Mak Su.

Petang itu, ibu dah ayah Adah pulang dari kerja. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis dibayar, berbatik-batik hasil seni tangan seseorang.

Si ayah terus menjerit dari luar rumah,:

"Siapa punya kerja ni?"

Mak Su yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan melihat wajah bengis majikannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras itu kepadanya, Mak Su menjawab perlahan:

"Saya tak tahu... ! Saya tak tahu Tuan".

"Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kamu buat?" herdik si isteri pula.

Adah yang sedang bermain dalam biliknya mendengar jeritan kuat ibu dan ayahnya. Adah begitu gembira dan tidak sabar menunjukkan lukisan terbaru kepada ibu dan ayahnya.

Dia berlari keluar dari bilik menuju ke luar rumah. Dengan penuh manja dia berkata:

"Adah buat ayah.. cantik kan?" Ucapnya manja sambil terus berlari mendapatkan ayahnya, ingin bermanja seperti selalu dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar ayahnya, manja serta ingin dibelai.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting pokok bunga raya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa meraung kesakitan. Sakit!

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan. Mak Su melopong, tidak mampu untuk berbuat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia juga takut untuk membantu Adah.

Si ayah cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si ayah masuk ke rumah dituruti si ibu. Mak Su segera memeluk Adah dengan penuh kasih sayang, cepat-cepat menggendong anak kecil itu dan membawanya ke bilik.






Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Berbirat. Kedua-duanya menangis teresak-esak dalam bilik. Mak Su memandikan anak kecil itu. Ketika dia menyiram air, ketika itu juga dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik kesan sebatan terkena air.

Mak Su kemudiannya menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama Mak Su. Rasa marahnya masih belum reda.

Keesokan harinya, kedua-dua belah tangan Adah bengkak. Mak Su berasa bimbang dan mengadu kepada majikannya.

"Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya .

Ibu dan ayah Adah bergegas ke pejabat tanpa menjenguk Adah di kamar Mak Su.

Sebaik pulang dari tempat kerja, mereka tidak melayan anak kecil itu. Adah banyak menghabiskan masa di bilik Mak Su. Si ayah kononnya mahu mengajar Adah.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu. Tanpa pengetahuan Adah, setiap hari ibu dan ayahnya akan bertanya kepada Mak Su sahaja tentang perihal & kesihatan Adah.

"Adah demam..." Kata Mak Su ringkas.

"Bagi minum panadol dulu." Balas si ibu.

Hati ibu Adah mula merindui gelak ketawa anaknya. Sebelum masuk bilik tidur pada malam itu, dia menjenguk bilik Mak Su. Apabila dilihat anaknya, Adah dalam pelukan Mak Su, dia menutup semula pintu. Dia menangis di luar bilik. Selalunya Adah akan mengadu dan tidur bersamanya apabila tidak sihat.

Masuk hari keempat, Mak Su memberitahu majikannya bahawa suhu badan Adah terlalu panas.

"Petang nanti kita bawa Adah ke klinik. Pukul 5.00 petang kita pergi." Kata majikannya itu.

Sampai waktunya, Adah sudah tidak bermaya. Ayahnya mulai risau dan terus membawa Adah ke klinik. Doktor mengarahkan supaya kes tersebut dirujuk ke hospital besar kerana keadaan Adah sudah serius. Setelah seminggu di wad Pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu.

"Tiada pilihan Encik Adam.."

Doktor mencadangkan agar kedua-dua tangan Adah dipotong kerana jangkitan kuman sudah menjadi gangrene yang terlalu teruk.

"Tangan anak tuan sudah bernanah teruk, demi keselamatan dan nyawa anak tuan, tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah." Kata doktor.

Bagaikan halilintar menyambar telinga mereka apabila mendengar kata-kata dari doktor itu. Ibu Adah merasa dirinya tunggang terbalik, seperti hendak pitam, tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Sebaik keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumahnya, Mak Su. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah, bersuara dalam linangan air mata...

"Ayah.. Ibu... Adah janji tak buat lagi. Adah tak mahu ayah pukul. Adah tak mahu jahat lagi. Adah sayang ayah.. sayang ibu". Katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa sebaknya.

"Adah juga sayang Mak Su.." Katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Sesiapapun akan menangis bila mendengar anak kecil yang tidak memahami apa-apa berbicara begitu.

"Ayah.. bagilah balik tangan Adah! Buat apa ambil.. Adah janji tak buat lagi! Adah nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Adah janji tak conteng kereta lagi!" Katanya sambil menangis tersedu-sedan.

"Ibu, Adah nak melukis macam mana buuu....?"

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun sudah takdir, tiada sesiapapun yang dapat menahannya.


PENGAJARAN :

Mendidik Anak Tidak Salah. Islam Juga Menyuruh Kita Mendidik & Mengajar Anak Tetapi Dengan Penuh Kasih Sayang Serta Ketabahan. Jangan Pula Kita Mendidik Atau Menjadikan Anak Kita Itu Sebagai Tempat Melepaskan Geram Serta Melempiaskan Nafsu...

Wallahualam...





::.akaahaara.::