Dalam sebuah kampung, tinggallah tiga
orang lelaki iaitu Si Sopak, Si Botak dan Si
Buta. Allah SWT akan menguji mereka, Allah SWT mengutuskan Malaikat dan
menyamar sebagai manusia. Maka datanglah Malaikat itu kepada orang yang mengidap
penyakit sopak dahulu.
Malaikat bertanya, "Apakah
yang engkau inginkan?"
"Kulit dan rupa yang bagus
serta hilangnya penyakit yang menyebabkan orang-orang jijik kepadaku." Jawab
Si Sopak.
Maka diusaplah Si Sopak oleh Malaikat.
Seketika itu juga, hilanglah penyakitnya dan berganti rupa dan kulit yang bagus.
Malaikat bertanya lagi, "Kekayaan
apakah yang engkau inginkan?"
"Unta." Jawab Si Sopak.
Maka diberinya seekor unta yang
bunting sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu
pada kekayaanmu itu).
Kemudian datanglah Malaikat itu kepada
Si Botak.
Malaikat bertanya, "Apakah
yang engkau inginkan?"
"Rambut yang bagus dan
hilangnya penyakitku yang menyebabkan kehinaan pada pandangan orang."
Jawab Si Botak.
Maka diusaplah kepala Si Botak lalu ketika itu
juga tumbuhlah rambut yang bagus.
Malaikat bertanya lagi, "Kekayaan
apakah yang engkau inginkan?"
"Lembu." Jawab Si Botak.
Maka diberinya seekor lembu yang bunting
sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu
pada kekayaanmu itu).
Seterusnya datanglah Malaikat kepada
Si Buta.
Malaikat pun bertanya, "Apakah
yang engkau inginkan?"
"Kembalinya penglihatan mataku
supaya aku dapat melihat orang." Jawab Si Buta.
Maka diusaplah mata Si Buta sehingga
dapat melihat kembali.
Malaikat bertanya lagi,
"Kekayaan apa yang engkau inginkan?"
"Kambing." Jawab Si Buta.
Maka diberinya seekor kambing yang
bunting sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu
pada kekayaanmu itu).
Beberapa tahun kemudian, setelah Si
Sopak, Si Botak dan Si Buta sudah mempunyai daerah tersendiri yang penuh dengan
unta, lembu dan kambing, datanglah Malaikat itu sekali lagi untuk menguji. Dalam
keadaan menyerupai seorang yang miskin seperti keadaan Si Sopak dahulu sebelum
ia sembuh dan kaya.
Malaikat itu berkata, "Saya
seorang miskin yang telah terputus hubungan dalam perjalananku maka tidak ada
yang dapat mengembalikan aku kecuali dengan pertolongan Allah SWT dan bantuanmu.
Maka saya mengharap, demi Allah SWT yang memberi rupa dan kulit yang bagus, berilah
satu unta saja untuk meneruskan perjalananku ini."
"Masih banyak hak orang lain padaku,
aku tidak dapat memberimu apa-apa, minta sajalah kat tempat lain." Jawab Si
Sopak dengan angkuh.
Malaikat berkata,
"Rasa-rasanya aku pernah berjumpa denganmu sebelum ini, bukankah engkau Si
Sopak yang dahulunya dibenci orang dan seorang yang miskin kemudian Allah SWT
memberimu kekayaan?"
"Saya telah mewarisi kekayaan
orang tuaku." Jawab Si Sopak.
Malaikat berkata, "Jika engkau
berdusta, maka semoga Allah SWT mengembalikan keadaanmu seperti dahulu."
Kemudian, pergilah Malaikat itu
kepada Si Botak dengan menyamar seperti keadaan Si Botak dahulu dan berkata pula
padanya sebagaimana yang dikatakan kepada Si Sopak, namun ternyata mendapat
jawapan yang sama seperti jawapan Si Sopak.
Malaikat berkata, "Jika engkau
berdusta, maka semoga Allah SWT mengembalikan keadaanmu seperti dahulu."
Akhirnya datanglah Malaikat itu
kepada Si Buta dengan menyamar seperti keadaan Si Buta dahulu semasa ia miskin.
Malaikat berkata, "Saya
seorang miskin dan perantau yang telah terputus hubungan dalam perjalananku, aku
tidak dapat meneruskan perjalanan kecuali dengan pertolongan Allah SWT dan
bantuanmu. Aku minta demi Allah SWT yang mengembalikan pandangan matamu, satu
kambing saja untuk aku meneruskan perjalananku ini."
"Dahulu aku memang buta lalu Allah
SWT mengembalikan penglihatanku maka ambillah sesuka hatimu, aku tidak akan
menghalang sesuatu pun kepadamu yang telah engkau ambil kerana Allah SWT."
Malaikat pun berkata, "Jagalah
harta kekayaanmu, sebenarnya kamu telah diuji maka Allah SWT redha kepadamu dan
murka kepada kedua temanmu itu."
Cerita Ini Diambil Dari Sebuah
Hadis Yang Diriwayatkan Oleh Bukhari & Muslim Dari Abu Hurairah r.a. Dari
Rasulullah SAW Berkaitan Dengan Kisah Tiga Orang Dari Bani Israil.
Kesimpulan :
Segala kekurangan, kemiskinan serta
kekayaan adalah satu ujian dari Allah SWT. Ia adalah untuk melihat sejauh mana
keteguhan, kesabaran dan kekuatan iman hambaNya dalam menempuh segala cabaran
hidup di dunia untuk menjadi bekalan di akhirat kelak. Kita juga perlulah
menolong orang-orang yang berada dalam kesusahan kerana kekayaan yang kita
perolehi adalah dari Allah SWT juga serta ia tidak kekal. Jika kita sudah
berada di atas, jangan sesekali kita melupakan orang yang berada di bawah. Mereka
juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang mungkin boleh berubah dalam sekelip
mata.
Sifat sombong, riak dan takabbur
ini perlulah dielakkan agar kita sama-sama tergolong dalam kalangan orang-orang
yang tawadduk serta mampu mengasihi sesama kita tanpa mengira pangkat, rupa
serta kedudukan. InsyaAllah.
Post a Comment
1 ulasan:
seronok baca . :)
Post a Comment