Blog Akaahaara Lawiya Adalah Hak Cipta Terpelihara.
RSS

Thursday, December 20, 2012

Si Sopak, Si Botak & Si Buta



Dalam sebuah kampung, tinggallah tiga orang lelaki iaitu Si Sopak, Si Botak dan Si Buta. Allah SWT akan menguji mereka, Allah SWT mengutuskan Malaikat dan menyamar sebagai manusia. Maka datanglah Malaikat itu kepada orang yang mengidap penyakit sopak dahulu.



Malaikat bertanya, "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit dan rupa yang bagus serta hilangnya penyakit yang menyebabkan orang-orang jijik kepadaku." Jawab Si Sopak.

Maka diusaplah Si Sopak oleh Malaikat. Seketika itu juga, hilanglah penyakitnya dan berganti rupa dan kulit yang bagus.

Malaikat bertanya lagi, "Kekayaan apakah yang engkau inginkan?"

"Unta." Jawab Si Sopak.

Maka diberinya seekor unta yang bunting sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu pada kekayaanmu itu).

Kemudian datanglah Malaikat itu kepada Si Botak.

Malaikat bertanya, "Apakah yang engkau inginkan?"

"Rambut yang bagus dan hilangnya penyakitku yang menyebabkan kehinaan pada pandangan orang." Jawab Si Botak.

Maka diusaplah kepala Si Botak lalu ketika itu juga tumbuhlah rambut yang bagus.

Malaikat bertanya lagi, "Kekayaan apakah yang engkau inginkan?"

"Lembu." Jawab Si Botak.

Maka diberinya seekor lembu yang bunting sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu pada kekayaanmu itu).

Seterusnya datanglah Malaikat kepada Si Buta.

Malaikat pun bertanya, "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kembalinya penglihatan mataku supaya aku dapat melihat orang." Jawab Si Buta.

Maka diusaplah mata Si Buta sehingga dapat melihat kembali.

Malaikat bertanya lagi, "Kekayaan apa yang engkau inginkan?"

"Kambing." Jawab Si Buta.

Maka diberinya seekor kambing yang bunting sambil didoakan, BAARAKALLAAHU LAKA FIIHAA (Semoga Allah SWT memberkatimu pada kekayaanmu itu).

Beberapa tahun kemudian, setelah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta sudah mempunyai daerah tersendiri yang penuh dengan unta, lembu dan kambing, datanglah Malaikat itu sekali lagi untuk menguji. Dalam keadaan menyerupai seorang yang miskin seperti keadaan Si Sopak dahulu sebelum ia sembuh dan kaya.

Malaikat itu berkata, "Saya seorang miskin yang telah terputus hubungan dalam perjalananku maka tidak ada yang dapat mengembalikan aku kecuali dengan pertolongan Allah SWT dan bantuanmu. Maka saya mengharap, demi Allah SWT yang memberi rupa dan kulit yang bagus, berilah satu unta saja untuk meneruskan perjalananku ini."

"Masih banyak hak orang lain padaku, aku tidak dapat memberimu apa-apa, minta sajalah kat tempat lain." Jawab Si Sopak dengan angkuh.

Malaikat berkata, "Rasa-rasanya aku pernah berjumpa denganmu sebelum ini, bukankah engkau Si Sopak yang dahulunya dibenci orang dan seorang yang miskin kemudian Allah SWT memberimu kekayaan?"

"Saya telah mewarisi kekayaan orang tuaku." Jawab Si Sopak.

Malaikat berkata, "Jika engkau berdusta, maka semoga Allah SWT mengembalikan keadaanmu seperti dahulu."

Kemudian, pergilah Malaikat itu kepada Si Botak dengan menyamar seperti keadaan Si Botak dahulu dan berkata pula padanya sebagaimana yang dikatakan kepada Si Sopak, namun ternyata mendapat jawapan yang sama seperti jawapan Si Sopak.

Malaikat berkata, "Jika engkau berdusta, maka semoga Allah SWT mengembalikan keadaanmu seperti dahulu."

Akhirnya datanglah Malaikat itu kepada Si Buta dengan menyamar seperti keadaan Si Buta dahulu semasa ia miskin.

Malaikat berkata, "Saya seorang miskin dan perantau yang telah terputus hubungan dalam perjalananku, aku tidak dapat meneruskan perjalanan kecuali dengan pertolongan Allah SWT dan bantuanmu. Aku minta demi Allah SWT yang mengembalikan pandangan matamu, satu kambing saja untuk aku meneruskan perjalananku ini."

"Dahulu aku memang buta lalu Allah SWT mengembalikan penglihatanku maka ambillah sesuka hatimu, aku tidak akan menghalang sesuatu pun kepadamu yang telah engkau ambil kerana Allah SWT."

Malaikat pun berkata, "Jagalah harta kekayaanmu, sebenarnya kamu telah diuji maka Allah SWT redha kepadamu dan murka kepada kedua temanmu itu."

Cerita Ini Diambil Dari Sebuah Hadis Yang Diriwayatkan Oleh Bukhari & Muslim Dari Abu Hurairah r.a. Dari Rasulullah SAW Berkaitan Dengan Kisah Tiga Orang Dari Bani Israil.



Kesimpulan :
Segala kekurangan, kemiskinan serta kekayaan adalah satu ujian dari Allah SWT. Ia adalah untuk melihat sejauh mana keteguhan, kesabaran dan kekuatan iman hambaNya dalam menempuh segala cabaran hidup di dunia untuk menjadi bekalan di akhirat kelak. Kita juga perlulah menolong orang-orang yang berada dalam kesusahan kerana kekayaan yang kita perolehi adalah dari Allah SWT juga serta ia tidak kekal. Jika kita sudah berada di atas, jangan sesekali kita melupakan orang yang berada di bawah. Mereka juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang mungkin boleh berubah dalam sekelip mata.

Sifat sombong, riak dan takabbur ini perlulah dielakkan agar kita sama-sama tergolong dalam kalangan orang-orang yang tawadduk serta mampu mengasihi sesama kita tanpa mengira pangkat, rupa serta kedudukan. InsyaAllah.


Post a Comment

1 ulasan:

           
                                                                                                     CikLyn WaLaLa[dOt]cOm                            said...            
           
                             

                 seronok baca . :)                

                         
                     

Post a Comment